Yusri Che Lah. Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan Perak FC, Yusri Che Lah mendedahkan situasi semasa yang dihadapi oleh pemain dan pegawai pasukan tatkala mereka sudah lama tidak menerima gaji.

Menurut Yusri, bagi melangsungkan kehidupan, ada dalam kalangan anak buahnya terpaksa menjual barang kesayangan seperti motosikal dan jam pintar Apple Watch.

“Kami di pihak pegawai dan pemain terpaksa mengharungi hari-hari tanpa bayaran (gaji) diterima dan ini merupakan suatu permasalahan yang amat sukar.

“Situasi ketika ini sehinggakan ada di antara mereka yang telah jual motosikal untuk kelangsungan hidup dan ada beberapa pemain yang menjual jam Apple Watch kerana mereka juga mahu mendatangkan ibu bapa mereka ke stadium bagi menyaksikan mereka bermain.

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam keadaan bola sepak Malaysia yang sedang bergerak ke arah profesional,” kata Yusri Che Lah dalam satu temu bual bersama Astro Arena.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya sanggup untuk menjual pasukan itu walaupun dengan nilai RM1 kerana pengurusan pasukan ketika ini sudah tidak sanggup untuk mengendalikannya.

Menurut Yunus, pihak pengurusan sudah tidak mampu malah bergelut untuk mencari dana bagi menyewa stadium dan perkara paling penting ketika ini ialah Perak dikendalikan oleh pihak yang berkemampuan.

Perak dikenakan pemotongan tiga mata selepas gagal menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu membabitkan pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan berjumlah RM934,729.42 mengikut tarikh pertama yang ditetapkan pada 31 Mac 2022.

Jika pasukan itu masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua, 14 April ini, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Perdana dan pengurangan dana.

Malah, sekiranya Perak masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji terbabit sebelum atau pada 21 April ini, maka pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) akan memanjangkan kes itu kepada First Instance Body (FIB) bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette