Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (tengah) bersama penerima anugerah sempena Majlis Makan Malam dan pengumuman syarikat melebarkan perniagaan ke Sabah di Putrajaya baru baru ini.

KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS PLT (Al Ansar), syarikat kontraktor bina banglo bakal melebarkan sayap ke Sabah bermula bulan ini dengan menfokus kawasan tumpuan di Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar.

Pengerusi Eksekutif Al Ansar, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, dengan pengembangan perniaagan itu, pihaknya mensasarkan pembinaan 20 unit banglo dengan nilai sebanyak RM5 juta di negeri itu.

“Al Ansar berbesar hati mengumumkan syarikat akan mengembangkan perniagaan ke negeri di Bawah Bayu ekoran mendapat permintaan bina banglo di sana.

“Sehubungan dengan itu, bermula pada 1 April lalu hingga 24 Jun 2022, promosi dengan diskaun yang menarik akan diberikan kepada pelanggan di Sabah.

“Sebanyak tiga rekaan diperkenalkan antaranya Maria dengan dua bilik tidur dan satu bilik air, Nabilah dan Velvet yang masing-masing mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air daripada harga RM170,000 hingga RM320,000 selepas diskaun,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucapa pada majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah bagi meraikan kakitangan syarikat dan vendor industri pembinaan pelbagai kategori di Putrajaya, baru-baru ini.

Muhamad Khanafi menambah, Al Ansar kini mempunyai  pejabat di Wisma Utama, Kota Kinabalu apabila menjalin kerjasama dengan Intiutama Bricks Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarahnya. Mohd Nazim Datuk Maduarin.

Jelas beliau, pelanggan di Sabah juga akan menikmati pelbagai hadiah iringan termasuk lampu dan kipas, kornis syiling, alat pemanas air dan vakum selain menikmati Happy Hour yang menawarkan televisyen Android 40 inci dan rebat dari RM1,000 hingga RM2,000.

Sementara itu, Muhamad Khanafi memberitahu, Al Ansar memberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kontraktor IBS Terbaik, Jualan Tertinggi dan Anugerah Khas kepada mereka yang bekerja dengan setia dan sentiasa optimis terhadap perniagaan syarikat meski pun berada dalam situasi sukar disebabkan pandemik sejak dua tahun lalu.

“Majlis ini diadakan sebagai tanda mengenang jasa dan juga usaha, ketabahan dan kekuatan mereka yang telah bersama-sama jatuh bangun bersama Al Ansar. Walaupun negara dilanda pandemik dan syarikat juga mengalami waktu-waktu sukar namun berkat kerjasama dan sokongan semua pihak, Al Ansar berjaya mencatat jualan seperti yang disasarkan.

“Semoga dengan anugerah ini menjadi suntikan semangat kepada penerima dan inspirasi kepada yang lain untuk terus bekerja bersungguh-sungguh, ikhlas dan bersama-sama melakar kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Al Ansar turut melancarkan Promosi Banglo Hari Raya 2022 bermula mulai 1 April lalu hingga 4 Jun ini yang mensasarkan 15 unit banglo dengan nilaian RM3 juta. – MalaysiaGazette