KUANTAN – Dua beranak Orang Asli maut akibat renjatan elektrik ketika menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di sebatang anak sungai di ladang kelapa sawit Batu Sawar Dua, Kuala Krau, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 45 tahun dan anaknya berumur 16 tahun dari Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Lipat Kajang, Temerloh yang keluar untuk menangkap ikan petang Sabtu lalu didapati tidak pulang,
Berikutan itu penduduk kampung mula mengesan mereka hingga jam 10 malam namun usaha itu gagal.
Bagaimanapun, katanya, pada jam 3.40 petang semalam sekumpulan penduduk kampung menemui mangsa dalam keadaan terbaring di tepi sungai.
Menurut Ramli, mayat kedua beranak dihantar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.
“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, sebagai contoh menggunakan bateri kereta untuk tujuan menangkap ikan termasuk yang luar batasan biasa,” katanya. – MalaysiaGazette