LYE Yhin Choy (kanan) bersama David Lim selepas majlis memeterai perjanjian taja jamin IPO CNERGENZ di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – CNERGENZ Berhad (CNERGENZ), penyedia rumusan pembuatan elektronik berpangkalan di Pulau Pinang, melantik UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. (UOB Kay Hian) hari ini bagi tawaran awam permulaan (IPO) tPasaran ACE di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

CNERGENZ merupakan syarikat yang mengkhusus dalam teknologi peletakan permukaan (SMT) bagi industri elektronik dan semikonduktor.

Syarikat tersebut telah memperoleh kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities dan menyasarkan untuk melancarkan prospektus pada April 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif CNERGENZ, Lye Yhin Choy, berkata, penyenaraian ini akan mengukuhkan kedudukan CNERGENZ sebagai penyedia rumusan pembuatan elektronik yang utama di Malaysia di samping meningkatkan kehadiran pasaran di Thailand dan Vietnam, negara-negara yang mendapat manfaat daripada aliran pelaburan yang kukuh ke dalam Industri E&S.

“Bagi tujuan penyenaraian itu, IPO tersebut melibatkan terbitan awam 100 juta dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta terbitan saham dengan cara penempatan persendirian,” katanya di sini hari ini.

CNERGENZ memberi perkhidmatan kepada pelanggan domestik dan antarabangsa di Malaysia, Vietnam dan Thailand, mempunyai asas pelanggan lebih daripada 100 syarikat tempatan dan multinasional yang beroperasi di dalam Industri E&S, yang terdiri daripada pengilang reka bentuk bersepadu (IDM), pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan penyedia perkhidmatan ujian (OSATs) dan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMSs).

Daripada terbitan awam itu, 25 juta terbitan saham akan dibuka untuk permohonan kepada rakyat Malaysia, 10 juta saham akan diperuntukkan kepada permohonan daripada pengarah dan kakitangan yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan CNERGENZ Group.

Manakala 52.75 juta saham akan diperuntukkan bagi tawaran persendirian kepada pelabur yang dikenal pasti dan 12.25 juta saham akan diperuntukkan kepada tawaran persendirian bagi pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

UOB Kay Hian akan menaja jamin agregat 35.0 juta terbitan saham, yang terdiri daripada 25.0 juta saham di bawah terbitan awam dan 10.0 juta saham diperuntukkan kepada Orang yang Layak bedasarkan perjanjian taja jamin yang ditandatangani.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian, David Lim berkata, UOB Kay Hian gembira dapat bekerjasama dengan CNERGEZ dalam proses IPO ini. Syarikat ini mempunyai rekod dan pengalaman yang baik dalam Industri E&S sejak tahun 2004.

CNERGENZ bekerjasama rapat dengan rangkaian lebih 50 pembekal untuk menawarkan penyelesaian berkualiti untuk pelanggannya, membina rangkaian yang kukuh dan menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan perniagaan CNERGENZ. – MalaysiaGazette