Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan dalam tempoh lima hari sejak 30 Mac lalu menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut laporan harian, sehingga semalam, kes turun lagi kepada 12,380 kes berbanding  14,692 dua hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu ia menjadikan 4,246,467 kes kumulatif sehingga 3 April semalam.

Bagi kes sembuh pula KMM mencatatkan 20,635 kes dengan 4,018,421 kes kumulatif.

“Walaupun kes menurun tetapi kes import yang dilaporkan agak meningkat kepada 462 kes iaitu 326 warganegara dan 136 bukan warganegara.

“Manakala kes tempatan sebanyak 11,918 kes iaitu 11,408 warganegara dan 510 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi ialah 253 kes iaitu 122 kes disahkan Covid-19 dengan 131 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Begitu juga kes yang memerlukan bantuan pernafasan iaitu 157 kes dengan 61 daripadanya disahkan Covid-19, 96 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Berikut perincian kategori kes Covid-19, iaitu daripada 12,380 kes harian yang dilaporkan itu, kategori 1 sebanyak 7,559 kes, kategori 2 (4,736 kes), kategori 3 (32 kes), kategori 4 (20 kes) dan kategori 5 (33 kes).

Dr. Noor Hisham berkata, daripada 85 kes Covid-19, kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam ialah 24 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.

Ini diikuti 33 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak, 28 kes telah menerima dos penggalak, 57 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 49 kes mempunyai komorbid. – MalaysiaGazette