Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan dapat menjimatkan pembayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi dengan pelaksanaan penstrukturan semula melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

Berikutan itu tiada lagi kenaikan kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penjimatan bersih bagi pembayaran pampasan subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut
dianggarkan berjumlah RM4.3 bilion.

Menurut beliau, penjimatan itu boleh dimanfaatkan bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang perlu diutamakan, antaranya kemudahan infrastruktur negara serta kemudahan lain kepada penduduk negara ini.

“Amanat dan prinsip penstrukturan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) adalah selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

“Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah merupakan suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang
memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Hari ini, ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, yang mana kesemua pemegang sahamnya tidak berasaskan keuntungan, menawarkan untuk membeli 100 peratus kepentingan dalam empat syarikat konsesi lebuh raya.

Ia melibatkan Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan KESAS; Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang mengendalikan SMART; Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan SPRINT dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang mengendalikan LDP.

Melalui kaedah penstrukturan semula itu, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk seperti dividen.

Pemegang-pemegang saham sedia ada yang antaranya terdiri daripada
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Amanah Pekerja, Permodalan Nasional Berhad Malaysia (PNBM) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan daripada pelaburannya lebih awal daripada sepatutnya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan pada masa sama tidak boleh mengabaikan obligasinya di dalam Perjanjian Konsesi sedia ada kerana ia bakal memberi imej negatif kepada para pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat mereka untuk melabur di Malaysia.

Jelas beliau, jika ini berlaku maka pelaburan di dalam negara akan berkurang dan akan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran.

Ujarnya, pwnstrukturan semula syarikat tersebut masih lagi selaras dengan Dasar Penswastaan yang mana syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyenggara lebuh raya berkenaan.

“Kerajaan juga telah memastikan bahawa ALR perlu menyerap kesemua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan.

“Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan
ini. Justeru, status bagi kesemua pekerja di bawah syarikat-syarikat konsesi ini adalah
terjamin,” katanya.

Fadillah memberitahu, jika dibandingkan dengan cadangan sebelum ini, ia melibatkan Jaminan Kerajaan, pengambilalihan syarikat serta keseluruhan entiti lebuh raya (nationalisation) serta kemungkinan lanjutan tempoh konsesi.

Kata beliau, kaedah itu adalah bercanggah dengan Dasar Penswastaan yang mana ia akan memberi implikasi negatif kepada para pelabur.

“Dengan cadangan penstrukturan semula ini, tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat
tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terlibat dibandingkan dengan
peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya -lebuh raya berkenaan secara berkala antara lima hingga tujuh tahun mengikut perjanjian konsesi masing-masing.

“Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi ini dan kerajaan juga tidak memberikan sebarang jaminan untuk pembiayaan ALR bagi cadangan penstrukturan semula ini.

“Kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula ini. Syor pihak ALR untuk mengekalkan kadar tol melalui Perjanjian Konsesi Tambahan adalah melibatkan semua kelas kenderaan bagi keempat-empat syarikat konsesi tersebut,” katanya.

Bagi membantu ALR mencapai objektif penubuhannya, jelas Fadillah, kerajaan telah bersetuju untuk memberi pelanjutan tempoh konsesi kepada KESAS, LDP, SPRINT dan SMART sebagai balasan tidak menaikkan kadar tol.

“Namun, lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta analisa oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan