Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik tindakan serius yang diambil oleh Malaysian Football League (MFL) kepada Perak FC atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail, pemotongan tiga mata secara serta- merta bagi saingan Liga Premier 2022 adalah wajar melihat kepada tempoh masa yang telah diberi kepada pasukan tersebut untuk melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh First Instance Body (FIB) iaitu pada 31 Mac lalu.

Tegasnya, dengan hukuman telah diberi, Perak FC tidak boleh terus ‘lepas tangan’ dan perlu berusaha menyelesaikan isu ini dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan hukuman sama berulang.

“Pertama sekali, pihak PFAM menyambut baik tindakan serius yang telah dikenakan kepada Perak FC dan MFL telah mengambil langkah yang tepat dalam perkara ini.

“Kami berharap agar isu tunggakan gaji Perak FC untuk dua kelompok (musim ini dan musim lepas) dapat diselesaikan dalam kadar segera.

“PFAM juga telah pun menghantar aduan bagi tunggakan gaji pemain Perak FC bagi musim 2021 ke peringkat Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk diperhalusi dengan lebih lanjut,” jelasnya.

Dalam masa sama, Izham berharap hukuman yang telah dikenakan kepada Perak FC akan menjadi pengajaran kepada mereka dan pasukan-pasukan lain dalam memastikan perkara sama seperti ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Hukuman ini merupakan langkah serius untuk menolak sebarang bentuk kejadian seperti ini terus berulang dan akan dapat memberikan amaran supaya pihak pengurusan mempunyai kemampuan dan kelayakan dalam menguruskan kelab.

“Sewajarnya perkara seperti ini tidak harus berlaku kerana penelitian yang telah dibuat sebelum pengambil alihan yang dilakukan oleh pihak kelab”, tambahnya.

Terdahulu, Perak FC gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak FC bertarikh (15 Disember 2021).

Keputusan pemotongan mata telah dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

Perak diberi masa sehingga tarikh akhir kedua iaitu 14 April ini untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan dan sekiranya gagal, maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana.

Jika pasukan masih gagal membuat bayaran sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette