KUALA LUMPUR – MalaysiaGazette bersedia menjadi penganjur kepada debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kenyataan kedua-dua pemimpin itu hari ini yang bersetuju untuk berdebat.

Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Abd Razak berkata, pihaknya akan menghantar surat jemputan rasmi kepada Najib dan Anwar bagi menyatakan hasrat untuk berperanan sebagai penganjur debat itu.

Katanya, pelawaan debat dicetuskan oleh MalaysiaGazette dalam program Skop MG bersama Rafizi Ramli Jumaat lalu yang menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Najib secara terbuka.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam reaksi balas terhadap kenyataan Rafizi berkata, beliau sedia berdebat bukan sahaja dengan Rafizi malah mahu Naib Presiden PKR itu mengajak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama-sama berdebat dengannya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, rentetan daripada program Skop MG itu, Najib, Anwar dan Rafizi masing-masing telah menyatakan kesediaan untuk berdebat, justeru amat wajar bagi MalaysiaGazette menjadi platform untuk program debat tersebut.

Katanya, Skop MG yang diterbitkan sejak setahun lalu telah menemubual pelbagai pihak yang memperkatakan bermacam-macam isu mencakupi politik, ekonomi, kesihatan, agama dan kemasyarakatan. – MalaysiaGazette