Pegawai KPDNHEP menjalankan pemeriksaan menerusi Op Pantau 2022 di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Sebanyak 109 premis perniagaan di Pulau Pinang yang diperiksa pada hari pertama menerusi Op Pantau 2022 semalam didapati beroperasi dengan patuh kepada perundangan yang dikuatkuasakan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, operasi dijalankan bagi memastikan keberadaan bekalan barang yang menjadi keperluan pengguna semasa bulan Ramadan  serta Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, pemeriksaan juga dilakukan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan bagi menaikkan harga barang.

Mohd Ridzuan.

“Pemeriksaan dijalankan bagi pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) Akta 342, (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Kita juga membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas penandaan harga atau harga sama ada dipatuhi mengikut warta kerajaan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

109 pemeriksaan itu membabitkan premis yang beroperasi di bazar Ramadan, bazar Hari Raya, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasaraya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

Dalam masa sama, Mohd Ridzuan mengingatkan semua peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorok barang kawalan semasa bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

“Kita tidak akan berkompromi dengan isu menaikan harga dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang berbuat sedemikian,” kata beliau.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarkan Op Pantau 2022 bagi memantau serta penguatkuasaan oleh pegawai penguat kuasa semasa bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei ini. – MalaysiaGazette