Dari kiri, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun, Dr Lee Nan Sang, Azizol Ayob, Azlin Othman

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Kebajikan Nusa Sejagat Malaysia, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) mewakili beberapa pertubuhan menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas, perhalusi peraturan sedia ada, dan menyediakan garis panduan khusus bufet menjamu selera di bulan Ramadan.

Ia susulan hanya terdapat 14 buah hotel di Melaka yang mempunyai sijil halal justeru hotel-hotel lain tidak dibenarkan menggunakan antara perkataan ‘Iftar Ramadan’, ‘Bufet Ramadan’, atau ‘Selera Ramadan’ bagi mempromosikan pakej berbuka puasa sepanjang bulan ini.

Pengerusi Nusa Sejagat Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, melalui makluman yang diterima, ada antara premis makanan yang tidak tersenarai dalam 14 premis yang mempunyai sijil halal yang sebelum ini telah menawarkan ‘Iftar Ramadan’ telah menarik semula iklan tersebut.

Premis tersebut kemudian mengubah strategi hebahan kepada ‘Jom Makan Malam’ dan ‘Bufet Makan Malam’ selepas dilarang mempromosikan bufet dengan perkataan yang boleh memperdayakan umat Islam.

Tindakan sedemikian dibuat bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang akan melakukan pemeriksaan ke hotel-hotel dan premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal.

“Kerajaan kena mengambil peduli, ambil tindakan dan inisiatif dengan memperhalusi hal ini, lebih-lebih lagi ianya melibatkan hal makanan dan perjalanan perdagangan serta melibatkan kepentingan umum khususnya kepada umat Islam” katanya.

Dalam kenyataan sama, Presiden LPKPM, Dr Lee Nan Sang berkata, hotel atau premis makanan yang tiada sijil halal, sudah jelasnya tidak mengikut standard prosedur operasi (SOP) penyediaan makanan secara Islam, tidak wajar untuk mengadakan promosi makanan bufet di bulan Ramadhan kerana perkara tersebut jelas sekali adalah untuk Muslim.

Beliau berpendapat, JAIM perlu memberitahu para pengusaha yang mempunyai sijil halal sahaja dibenarkan untuk membuat promosi berbuka puasa, dalam apa jua strategi sekali pun.

“Pengusaha yang tidak mempunyai sijil halal untuk mengambil pendekatan dengan memohon sijil halal jika ingin memberi khidmat penyediaan makanan dan tidak mengambil mudah isu sijil halal sebagai cara untuk mengembangkan perniagaan dan mendapatkan sambutan Muslim,” katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman meminta pihak pengendali makanan untuk memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dan tidak mendatangkan kemudaratan, serta mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan untuk dijual kepada orang ramai.

Jelasnya, orang ramai juga perlu bertindak bijak dalam memilih premis yang bersih dan selamat sahaja untuk menikmati juadah mereka.

Isu pemakanan ini jika tidak ditangani dengan berhati-hati boleh menjejaskan produktiviti dan tahap kecergasan, dan kecerdasan sama ada dalam kalangan dewasa atau kanak-kanak.

“Keracunan makan juga kerap berlaku kerana penyediaan bahan makanan mungkin dicuci dengan cara yang tidak betul-betul dijamin bersih atau persekitaran yang tidak bersih” katanya.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Faizin Bertam Malim, Azizol Ayob, masyarakat sendiri pun perlu menitikberatkan pemakanan yang halal ketika menjamu selera di hotel terutamanya ketika di bulan puasa.

“Masyarakat perlu ada sikap ragu-ragu ini.. atau was-was, terhadap premis yang tidak ada sijil halal tapi menawarkan promosi bufet Ramadan di bulan puasa ini.

“Penguatkuasa kena tegas dan berterusan supaya peraturan ni dipatuhi oleh semua pengusaha hotel dan premis makanan, agar tidak mengelirukan pengguna terutamanya umat Islam” ujarnya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast