Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan laporan media berhubung kematian seorang lelaki yang dipercayai warganegara Malaysia di Australia adalah benar.

Mayat lelaki yang ditemui polis Australia di kawasan pedalaman di barat laut Bathurst di New South Wales (NSW) kelmarin adalah warga Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada 3 April lalu pihak berkuasa Australia telah menemui satu rangka manusia di New South Wales yang dipercayai telah dibunuh lebih daripada setahun lalu.

“Hasil semakan mendapati mangsa dipercayai warganegara Malaysia, berumur 25 tahun dan berasal dari Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut laporan media Australia, mayat disyaki Jacky Chong Kai Wong itu dijumpai kira-kira jam 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Jacky dipercayai mati dibunuh dengan kejam antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021 selepas berlaku salah faham dengan kartel dadah di mana dia bekerja sebagai ‘penjaga’ kira-kira 1,000 batang pokok ganja.

Menurut Ayob Khan, mangsa dipercayai memasuki Australia pada November 2016 dengan menggunakan visa pelancong dan ditawarkan bekerja sebagai pekerja ladang oleh sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut, ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan timbul kekeliruan. – MalaysiaGazette