KUALA LUMPUR – Semua data dalam aplikasi MySejahtera dijamin selamat dengan servernya berpangkalan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, aplikasi itu sangat penting bagi kerajaan kerana ia digunakan untuk Covid-19, vaksinasi dan sebagainya.
“Apa yang saya jelaskan di Dewan Negara adalah keadaan sebenar dan data itu adalah data yang dimiliki KKM. Data itu selamat dan servernya berpangkalan di Malaysia.
“Sebab itu, apabila saya dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara (PAC), saya pergi sebab saya nak beri keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tidak ada apa nak sembunyikan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke beberapa hospital di Ipoh, Perak hari ini.
Mengenai varian baharu Omicron BA2, Khairy berkata, KKM kini sedang mengikut perkembangannya.
“Kita pun tak tahu sama ada varian ini bahaya atau sebagainya dan apakah ciri-cirinya. Dalam perkembangan varian baharu ini, ada dua perkara yang kita perlu tengok iaitu kebolehjangkitannya dan keseriusannya.
“Kalau Omicron, kebolahjangkitannya lebih tinggi daripada Delta, tetapi keseriusannya lebih sederhana,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, di Malaysia belum ada lagi dikesan tapi sudah ada dikesan di Thailand.
“Untuk varian baru ini kita kena tengok dari negara lain sama ada kebolehjangkitan tinggi atau keseriusan tinggi, barulah kita ambil langkah sepatutnya.
“Kalau keseriusannya tinggi, tiba-tiba orang yang dijangkiti ini betul-betul sakit dan terpaksa masuk ke hospital, maka kita punya strategi kena tukar. Tapi, buat masa ini strategi kita masih tetap,” katanya. – MalaysiaGazette