Antara pelitup muka yang dikaji tahap keberkesanannya oleh petugas Makmal Dust Mask NIOSH di NIOSH Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mewartakan pelitup muka bukan perubatan dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 berkuat kuasa semalam.

Menerusi kenyataan KPDNHEP memaklumkan, pewartaan itu bertujuan bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahu pun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, menerusi perintah itu pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku pihak berkuasa yang dilantik oleh KPDNHEP.

Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Jelasnya, pewartaan tersebut adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” ujarnya. – MalaysiaGazette