foreign-registered vehicle car Singapore RON95 refuel
Sikap warga Singapura yang tidak bertanggungjawab mengisi minyak RON95.

JOHOR BAHRU – Isu pembelian minyak RON 95 dalam kalangan kenderaan warga Singapura yang mencetuskan kemarahan warga Johor dapat dibendung sekiranya penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pengusaha stesen minyak bertindak tegas menanganinya.

Ahli Dewan Muda Johor, Raden Mohammad  Azwan Naharudi mengakui marah dengan apa yang berlaku kerana  merasakannya tidak wajar untuk rakyat Singapura mengambil kesempatan terhadap subsidi minyak yang dikhususkan untuk rakyat negara ini.

Raden Mohamad Azwan

Ia juga dilihat satu tindakan tidak bermoral  sesetengah rakyat negara jiran itu, katanya.

Selain itu, katanya, aspek penguatkuasaan juga lemah antara punca perkara itu kerap berlaku sebelum ini.

“Mungkin jika dilihat, keadaan ini dibenarkan berlaku ekoran daripada sikap individu itu sendiri dan juga penguatkuasaan yang lemah pihak bertanggungjawab.

“Hampir dua tahun tiada kelibat pengunjung warga Singapura di Johor ekoran penutupan sempadan, justeru mungkin terdapat kelonggaran terhadap penguatkuasaan dan apa yang saya harapkan supaya pihak bertanggungjawab supaya bangun dan kembali menguatkuasakan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

“Untuk pihak pengusaha stesen minyak, mereka perlu lebih bertanggungjawab, saya yakin sekiranya pengusaha stesen minyak lebih bertanggungjawab, tidak akan ada keadaan seperti ini berlaku.

“Ini kerana proses terakhir untuk mengisi minyak adalah berlaku di stesen minyak, justeru pihak pengusaha stesen minyak perlu mengingatkan pekerja mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya.

Jelas Raden Mohamad Azwan, pemantauan berkala seperti dilakukan pihak berkuasa juga agak kurang relevan sebaliknya ia harus disusuli dengan tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha yang mengingkari peraturan itu.

“Apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam isu ini selain penguatkuasaan adalah tidak bertolak ansur dengan pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan, sekiranya tindakan menarik balik lesen atau sebagainya boleh dilakukan, perlu dilaksanakan.

“Ini kerana jika dilihat sekiranya warga asing mengisi 40 liter RON 95, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing. Wang rakyat sepatutnya digunakan untuk memberi kelebihan kepada rakyat negara kita sendiri dan bukan warga asing,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Muzamil Ra’il , 37  berpandangan, sudah tiba waktunya kerajaan kerajaan memperkasakan sistem digital di stesen-stesen minyak.

Mohamad Muzamil

“Kerajaan boleh meletakkan kadar harga minyak tanpa subsidi di setiap pam minyak dan pengguna yang mempunyai mykad akan mendapat kadar subsidi secara automatik melalui sistem di stesen minyak.

“Kerajaan juga akan dapat meningkatkan penjualan minyak pada harga tinggi tanpa subsidi kepada warga asing.

“Kita juga mampu mewujudkan sistem seperti ini di tol yang mana rakyat malaysia akan menikmati kadar istimewa berbanding rakyat asing. Tiada gunanya kita memiliki Mykad yang mempunyai data sebagai rakyat malaysia tetapi rakyat lain mampu utk menikmati kelebihan yang lebih banyak berbanding rakyat kita sendiri.

“Ada banyak syarikat tempatan yang mampu merealisasikan perkara ini asalkan karenah birokrasi dikurangkan dan kerajaan bersedia menerima pandangan,” katanya.

Muzamil juga berpandangan, penguatkuasaan tanpa melibatkan usaha menyeluruh  menyebabkan tidak ada jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Semua stesen minyak mempunyai sistem yang boleh diperkasakan dan saya percaya pengusaha stesen juga tidak mengambil kesempatan tetapi tidak mampu mengawal perkara ini apatahlagi kebanyakan warga asing yang tidak bertanggungjawab ini sangat licik dan menggunakan pelbagai muslihat,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast