Majlis menandatangai MoU dan MoA antara Showme Eduwav Bhd. dengan pengusaha taska, tadika dan sekolah swasta berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang teruk kepada institusi pendidikan khususnya kepada pengusaha-pengusaha di peringkat tadika dan taska kerana kira-kira 3,000 pusat pendidikan itu terpaksa ‘gulung tikar’ pada tahun lalu.

Bagi mengatasi isu itu berlarut, Showme Eduwav Berhad terpanggil untuk menjalinkan kerjasama dengan lima syarikat berkaitan pendidikan dan latihan dalam usaha memperkasakan semula sektor pendidikan awal kanak-kanak yang ‘lumpuh’ akibat penularan Covid-19 virus itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Showme Eduwav, Redzuan Abdul Aziz berkata, kolaborasi itu bertujuan membentuk satu kerjasama antara pemain-pemain sektor pendidikan dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing.

“Kerjasama ini adalah untuk mencari jalan ‘pemulihan’ yang dapat mengurangkan keciciran pendidikan awal di kalangan kanak-kanak di negara ini.

“Usaha itu akan memberi tumpuan kepada penyediaan kandungan pendidikan digital dan latihan bagi menaik taraf kemahiran guru-guru taska dan tadika swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Showme Eduwav dengan Pilihan Bestari Sdn. Bhd, Akademi Generasi Mukmin Eduzone Sdn. Bhd. dan Keedsflix International Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Syarikat itu turut menandatangai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama ECCE Educator Training Academy Sdn. Bhd., Pipakids International Sdn. Bhd. dan Helsinki International Schools Group dari (Finland).

Pada majlis sama, penyampaian sijil kepada 30 daripada 60 peserta program Edupreneur Group Coaching turut berlangsung di mana program selama enam bulan itu terbuka untuk pengusaha institusi pendidikan seluruh Malaysia bagi membuka minda mereka dalam mengembangkan perniagaan.

Showme Eduwav Berhad terpanggil untuk menjalinkan kerjasama dengan lima syarikat berkaitan pendidikan dan latihan.

Mengulas lanjut, Redzuan yang juga dikenali sebagai Principal Red berkata, kerjasama dengan Keedsflix International Sdn. Bhd. melibatkan penyediaan kandungan pendidikan digital bagi membolehkan pihak tadika atau taska meneruskan pembelajaran secara online atau offline (rakaman).

“Sepanjang pandemik, kita tengok banyak tadika yang terpaksa menutup operasi kerana tidak dapat menjalankan pengajaran kerana tidak bersedia dengan pendidikan secara online.

“Keadaan ini menyebabkan ramai ibu bapa yang tidak mahu membayar yuran persekolahan dan akhirnya menjejaskan operasi tadika, taska dan sekolah swasta hingga mereka `gulung tikar’.

“Di bawah bimbingan kami, peserta turut diperkenalkan dengan sistem pendidikan yang lengkap mengikut apa yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menghasilkan silibus yang menepati keperluan,” katanya.

Selain itu, kata Redzuan, pihaknya turut melihat kepada usaha pemerkasaan kemahiran tenaga pengajar di institusi pendidikan kanak-kanak melalui kerjasama dengan rakan kolaborasi, ECCE Educator Training Academy Sdn. Bhd.

Pada majlis itu, Keedsflix International Sdn. Bhd. turut menaja 1,000 ID (akaun pendidikan) percuma yang bernilai RM199,000 kepada Universiti Sains Islam Malaysia untuk diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40 dan juga asnaf.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Keedsflix International Sdn. Bhd., Azri Jemani berkata, ID berkenaan menawarkan program pengajian secara online yang setiap satu berharga RM199 untuk tempoh setahun.

“Program E-Learning Keedsflix membantu bukan sahaja ibu bapa yang memiliki anak-anak berumur antara tiga hingga lapan tahun tetapi boleh dilanggan untuk memperkukuh operasi tadika sedia ada”.

Showme Eduwav Berhad yang merupakan syarikat pendidikan berpengkalan di Terengganu, turut mengumumkan sasaran ke pasaran Bursa Saham Malaysia pada tahun 2025 (Road To IPO 2025). – MalaysiaGazette