Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang suspek warga asing yang sangat dikehendaki di negara ini kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan migran Wang Kelian di sempadan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada 8 Mac lalu apabila Bahagian (D3) ATIPSOM Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara Thailand, berumur 34 tahun di Johor Bahru.

“Dia ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran yang dikaitkan dengan penemuan kem dan kubur di kawasan berbukit sempadan Malaysia-Thailand, Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut prosedur di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Menurutnya, pada pagi tadi, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, polis tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang siasatan mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek yang terlibat.

“PDRM juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perkara ini ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette