Ayu Raudhah sebagai duta sekali gus bertindak sebagai individu memasarkan jenama byLR.

KUALA LUMPUR – Jenama pakaian wanita mampu milik dan selesa, byLR diusahakan syarikat Iwan Industry Factory Sdn. Bhd. optimis untuk terus realistik dan praktikal memenuhi kehendak pasaran.

Dilabel sebagai pakaian ‘kampung’ – jenama diusahakan artis dan usahawan terkenal, Ayu Raudhah tidak kisah dengan skeptikal masyarakat.

Malah Ayu yang juga isteri pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha itu optimis dengan koleksi raya sedondon untuk ibu dan si kecil dipasarkan tahun ini.

Kata ibu kepada lima cahaya mata yang turut bertindak sebagai duta dan individu penting memasarkan jenama berkenaan, sebanyak 10,000 helai koleksi pakaian diterbitkan bersempena menyambut kedatangan Syawal.

“Kami bertekad untuk mengeluarkan pakaian wanita contohnya seperti baju kurung kain kapas premium dan corak ala songket yang dijual dengan harga berpatutan.

“Niat kami mahu semua golongan wanita boleh bergaya cantik tanpa mengeluarkan bajet yang mahal. Rangkaian harga pakaian bermula serendah RM69 hingga ke RM129 untuk usia 18 ke 50 tahun.

“10,000 helai pakaian itu disasar boleh habis terjual dalam tempoh kurang sebulan bermula bulan Ramadan ini. Kami mensasarkan RM1 Juta jualan dalam sebulan. Tahun ini secara keseluruhan kami sasar RM12 juta boleh disasar,” kata Ayu sambil memberitahu koleksi raya membabitkan anak perempuannya, Laura Zuleykha.

Ayu Raudhah mahu majukan jenama byLR.

Jenama beribu pejabat di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang yang mula mengembangkan sayapnya sejak hujung tahun lalu itu juga tidak mahu membebankan golongan wanita terutama di era semasa.

“Dari zaman pandemik Covid-29 hinggalah ke endemik, kami tahu ada yang bergelut meneruskan survival. Bukan semua senang. Tapi di saat negara sudah mula ‘terbuka’ membiasakan norma baharu dan kesempatan beraya tahun ini, tak salah untuk berbelanja membeli pakaian raya.

“Sebab itu kami mahu puaskan keinginan wanita yang masih kekal berfesyen cantik dengan harga bukan kayangan. Golongan sasaran kami daripada gadis hinggalah wanita matang.

“Daripada pekerja kerajaan, swasta hingga ke sektor korporat dan juga pelajar kolej mahu pun universiti ini masan untuk anda kekal bergaya tanpa berfikir panjang memikirkan nilai harganya,” katanya.

Ditanya wanita bertaraf figura umum atau public figure, apakah jenama diwakilinya itu seiring dengan statusnya, Ayu atau nama penuhnya Raudhah Che Wan tidak kisah dengan pandangan orang.

“Saya boleh akui seorang yang tidaklah terlalu ringkas dalam bergaya. Kalau sudut artis, pakaian digayakan bergantung kepada majlis dan situasi.

“Namun atas kapasiti usahawan, saya tak boleh ikut kehendak sendiri. Pakaian cantik dan mahal belum tentu orang ramai pakai. Tapi pakaian cantik, selesa, ringkas, harga munasabah dan dianggap ‘kampung’ itu tentu-tentu ramai nak.

“Biarlah bijak membeli, menang memakai. Sekarang ini pun, koleksi terdahulu dijual pada harga diskaun 30 peratus sempena pra Ramadan. Saya juga nak ajak semua tambah pendapatan sempena raya kali ini dengan menjadi dropship. Boleh rujuk pautan https://linktr.ee/bylrofficial,” kata Ayu.

Koleksi raya byLR turut menampilkan anak perempuan Ayu Raudhah sebagai model.

Ayu berkata, dia diperkenalkan pasukan kerja jenama berkenaan menerusi kakaknya, Rubitah Che Wan dan suami, Lan Pet Pet tahun lalu.

Bermula sebagai risikan menjadi duta jenama pakaian itu, Ayu menyerlahkan pengalamannya menceburi perniagaan sejak tahun 2012 menarik keyakinan rakan kongsinya itu untuk berada di depan menerajui perniagaan diusahakan.

Sebagai permulaan, Ayu turut mengumumkan akan mengedar 10,000 tudung percuma dan baucar RM10 kepada peminatnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast