pekerja
Sektor perhotelan antara yang memerlukan ramai pekerja selepas ekonomi negara dibuka semula.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula aktiviti ekonomi negara telah menyebabkan pelbagai sektor daripada perhotelan sampailah ke pusat beli-belah memerlukan pekerja yang ramai.

China Press melaporkan, sektor peruncitan sahaja mengalami kekurangan pekerja yang serius iaitu memerlukan 100,000 pekerja manakala perhotelan kekurangan 60,000 orang serta sektor makanan kekurangan 30,000 orang.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman pula berkata, sektor sawit, pembinaan dan pembuatan berdepan isu kekurangan pekerja yang serius sehingga menjejaskan pendapatan pengusaha dan hasil cukai kerajaan.

Beliau justeru meminta kerajaan segera menyelesaikan isu kekurangan 72,000 pekerja dalam industri perladangan kerana masalah itu akan menjejaskan daya saing negara dengan negara-negara jiran lain.

“Saya berharap kerajaan segera meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing kerana isu kekurangan pekerja telah berlaku sebelum berlaku pandemik lagi,” katanya kepada China Press.

Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Datuk Lee Teong Li pula berkata, transformasi sektor pengeluaran elektronik daripada pemasangan kepada pengumpulan dan aktiviti tambah nilai  mengkehendaki lebih banyak bakat.

Beliau memberitahu Kwong Wah Yit Poh, selain perlu menyediakan kemudahan bertaraf dunia dan tanah untuk tujuan perindustrian, kerajaan negeri juga perlu memenuhi keperluan tenaga manusia.

Katanya, Pulau Pinang memerlukan 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun akan datang atau 30,000 orang setiap tahun.

Menurutnya, industri pengeluaran sentiasa berdepan kekurangan pekerja dan lebih ramai pekerja dari luar negara diharapkan akan dibenarkan masuk selari dengan peralihan ke fasa endemik.

Katanya, pengambilan bakat asing adalah untuk memastikan perkhidmatan dan pengeluaran pelbagai sektor tidak terjejas.

Dalam pada itu,  Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, pusat beli-belah juga berdepan isu kekurangan pekerja yang serius terutamanya selepas ramai pekerja asing telah balik ke negara asal semasa pandemik.

Beliau dipetik China Press sebagai berkata, keadaan itu menyebabkan pusat beli-belah kekurangan 10 peratus pekerja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Datuk Foo Yong Hooi berkata, kemasukan 10,000 pembantu rumah dari Indonesia tidak dapat memenuhi keperluan pasaran kerana Malaysia memerlukan 50,000 orang.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, sekiranya permohonan untuk pembantu rumah dari Indonesia tidak boleh dilakukan pada masa ini, maka permohonan untuk pembantu rumah Filipina harus dibuka.

Katanya, tindakan pihak berkuasa yang tidak membuka permohonan pembantu rumah pada masa ini adalah menghairankan. – MalaysiaGazette