KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berharap kepada kerjasama perdagangan yang dipertingkatkan dengan Korea Selatan berikutan perdagangan global yang meningkat dan Malaysia beralih kepada pra-endemik, dengan pembukaan semula sempadan sepenuhnya pada 1 April.

Shawn Sim, Pengarah Bahagian China dan Asia Timur Laut berkata, Malaysia dan Korea Selatan telah menjalin hubungan dua hala yang kukuh sejak enam dekad yang lepas dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-62 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Pada 2021, Korea Selatan merupakan rakan dagang global kesembilan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan Malaysia dengan Korea Selatan meningkat 8.5 peratus.

“Ini menunjukkan Korea Selatan kekal sebagai rakan dagang kita yang berdaya tahan,” katanya pada webinar bertemakan “Expand your Business to the Korean Market with EC21, the Leading Global B2B (business-to-business) Marketplace” semalam.

EC21 ialah pasaran B2B global yang terkemuka dan peranan utamanya menghubungkan pembeli dengan pembekal di seluruh dunia.

Sim berkata EC31 merupakan platform untuk pembekal, pengeluar dan pengeksport memuat naik dan mempromosikan produk mereka manakala pembeli atau pengimport dapat mencari dan menghubungi pembekal dengan mudah mengikut kategori dan kata kunci B2B.

Katanya, pasaran B2B dalam talian menjadi instrumen perdagangan yang penting untuk urus niaga dan pemasaran perniagaan kepada perniagaan berikutan langkah itu mempercepatkan proses pemasaran dan menjimatkan kos transaksi secara keseluruhannya.

“Dengan jumlah penduduk seramai 51.8 juta, Korea Selatan dikenali kerana mempunyai antara rangkaian Internet terpantas di dunia dan ketersediaan Internet berkelajuan tinggi yang tinggi.

“Hampir 96.5 peratus daripada rakyat Korea Selatan menggunakan Internet dan hampir 70 peratus adalah pembeli dalam talian. Jualan e-dagang menyumbang kira-kira US$156.5 bilion kepada Korea Selatan,” katanya.

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Seoul Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menjangka perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan akan terus meningkat dengan memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkuat kuasa awal tahun ini.

Beliau berkata sekatan perniagaan semasa pandemik COVID-19 telah memaksa peralihan paradigma perniagaan global ke arah ekonomi digital, yang memberi impak negatif kepada model perniagaan tradisional selain mewujudkan peluang baharu melalui kepelbagaian dalam jualan dalam talian.

“E-dagang kini merupakan fenomena global, berkembang pada kadar yang pesat di hampir setiap negara. Ia terus berkembang di seluruh dunia, terutamanya semasa pandemik dan pasaran dijangka mencatat pencapaian baharu dalam era pasca COVID-19,” katanya. – MalaysiaGazette