Pemandu kereta hadir ke mahkamah atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal pada 12 Mac yang lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pengurus restoran mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal pada 12 Mac yang lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazrin Ramli membuat pengakuan berkenaan di Mahkamah Majistret Jenayah Trafik hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nazrin, 31, pada 12 Mac  jam 12.10 tengah malam di Jalan Kuching memandu kereta jenis Perodua Myvi di bawah pengaruh alkohol yang hadnya melebihi ditetapkan iaitu 71MG/100ML.

Tertuduh didakwa tidak dapat mengawal kenderaan yang dipandunya lalu melanggar penunggang motosikal sehingga mengakibatkan kematian.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syuhada Abd Rauf pada mulanya mengesyorkan tertuduh diberi ikat jaminan berjumlah RM15,000.

Namun, peguam bela tertuduh, Thilagavathy Jayakumar merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana Nazrin hanya bergaji sebanyak RM3,000 sebulan.

Dalam masa yang sama, beliau  perlu menanggung ibunya yang uzur berusia 66 tahun.

Selepas membuat pertimbangan, Majistret, Amanina Mohamad Anuar menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 kepada tertuduh.

Lesen memandunya juga digantung dan perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Sebutan kes dan tarikh serahan dokumen ditetapkan pada 2 Jun 2022.

Dalam nahas itu, tertuduh telah melanggar penunggang motosikal mangsa yang berusia 40 tahun dari arah belakang ketika berada di atas jalan raya dari arah Jalan Kinabalu ke Jalan Kuching.- MalaysiaGazette