Gambar hiasan

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut melibatkan 4,050 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Beliau berharap bantuan itu dapat memberikan motivasi kepada mereka melaksanakan tugas dengan baik dan terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada negeri.

BKK itu juga katanya, dapat merancakkan ekonomi di negeri ini selaras dengan tema belanjawan Negeri Sembilan bagi tahun 2022 iaitu “Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat”.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) telah menghantar tangki statik ke kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air terawat semalam di beberapa tempat di Port Dickson termasuk Bandar Springhill dan Chuah serta Kuala Klawang, Jelebu.

“Ia berikutan kadar kekeruhan air sungai di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terlalu tinggi apabila berlakunya hujan lebat di sekitar Seremban hingga loji tidak dapat memproses air mentah dari sungai tersebut. Kita akan berusaha memastikan masalah ini tidak berulang terutama menjelang perayaan nanti,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat di Port Dickson berikutan kekerapan berlakunya gangguan bekalan air di sekitar daerah tersebut. – MalaysiaGazette