Mohd Ridzuan melakukan pemeriksaan Ops Pantau di Bazar Ramadan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya mendapati rata-rata peniaga menjual juadah dengan harga berpatutan selain meletakkan tanda harga pada barang jualan bagi memudahkan pengguna membuat pilihan.

Jelas beliau, dalam tempoh tiga hari bermula Ahad lalu sebanyak 20 bazar Ramadan sekitar Pulau Pinang di periksa dan tiada isu kenaikan harga atau jualan mahal diterima.

Mohd Ridzuan.

“Seramai 121 pegawai penguatkuasaan ditempatkan di lapangan yang mana 62 daripada mereka merupakan pegawai pemantau harga bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Selain itu, kita juga tempatkan van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna serta kereta peronda di lokasi bazar bagi memudahkan pengguna membuat aduan terus di lokasi.

“Dalam masa sama, pihak kami juga akan terus melakukan pemeriksaan di bazar-bazar ini bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan bukan sekadar bertindak ketika melihat kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Ops Pantau di Bazar Ramadan Bandar Perda di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Ridzuan berkata, sehingga hari ini, pihaknya sudah memantau kira-kira 20 bazar Ramadan di negeri ini.

“Bazar yang menjadi tumpuan orang ramai di Bayan Baru, Balik Pulau, Seberang Jaya, Bandar Perda, Kubang Semang turut dipantau rapi.

“Kita harap peniaga kekal mematuhi peraturan yang ditetapkan sehingga akhir Ramadan.

“Selain itu, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak kami jika harga makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak munasabah agar siasatan lanjut dapat dilakukan,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, tiada aduan kenaikan harga ayam diterima di negeri ini. – MalaysiaGazette