Tertuduh, Mohd Jazid Md Jani merupakan bekas eksekutif sebuah agensi pertanian kerajaan terlepas daripada hukuman penjara 10 tahun dan hanya didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah susulan tertuduh diberikan wang suapan berjumlah RM5,000 bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan baja bernilai RM143,100 pada 2015 ketika dibawa oleh pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Seorang bekas eksekutif agensi kerajaan terlepas daripada hukuman penjara 10 tahun dan hanya didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah kerana tidak melaporkan aktiviti rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan tertuduh diberikan wang suapan berjumlah RM5,000 bagi membantu sebuah syarikat untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan baja bernilai RM143,100 pada 2015.

Tertuduh, Mohd Jazid Md Jani, 52, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, pada 21 Julai 2015 di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, tertuduh sebagai Eksekutif Niaga Tani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang telah diberikan suapan iaitu cek tunai berjumlah RM5,000 daripada seorang individu.

Ia sebagai dorongan kerana membantu Syarikat Alfa Life Technology Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja pembekalan baja cecair organik sebanyak 5,000 liter bagi input pertanian PPK Klang bernilai RM143,100.

Mohd Jazid didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) atas kesalahan tidak melaporkan pemberian suapan kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.

Tertuduh juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Akta SPRM ini juga memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Fadhli juga mahu mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh sepatutnya melaporkan aktiviti rasuah kepada SPRM serta pihak polis dan bukannya menerima wang suapan itu.

“Tertuduh terlibat dalam urusan perolehan di mana dia berjumpa sendiri pihak syarikat untuk pembelian baja.

“Hubungan awal dibentuk oleh Orang Kena Tuduh (OKT) sendiri dan hukuman setimpal perlu diberikan kepada OKT,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh merayu agar hukuman itu diringankan kerana mempunyai tanggungan besar termasuk seorang ibu yang terlantar berusia 80 tahun dan tiga anak yang masih belajar di universiti termasuk berusia tujuh tahun.

Selain itu, tertuduh juga baru dua bulan bekerja sebagai pembantu pejabat selepas kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 dua, tahun lalu.

Setelah mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Rozilah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 sahaja dan tiada hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh.

Hakim Rozilah turut mengingatkan walaupun kesalahan itu berlaku pada 2015, namun ia tetap satu kesalahan dan tertuduh perlu insaf dan tidak mengulangi perbuatan sama di masa hadapan.

“Saya harap hukuman ini setimpal dan kifarah di akhirat, kena berazam tidak melakukan kesalahan sama, punca perbelanjaan kita kena halal dan berkat

“Suapan rasuah ini merupakan satu jenayah sangat serius dan jenayah akhir zaman

“Tiada hukuman penjara, tapi kamu didenda RM8,000 jika gagal enam bulan penjara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette