Sulaiman Md Ali.

MELAKA – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) diminta segera menyelesaikan isu tunggakan tiga bulan gaji kepada semua pemainnya bagi memastikan mereka tidak hilang fokus dalam saingan Liga Super musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada pemilik kelab berkenaan, Datuk Seri Justin Lim, minggu lalu.

“Saya pun dah jumpa dengan Datuk Justin, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) MUFC minggu sudah, maklumkan kalau boleh pembayaran gaji ini kita buat secara prompt (cepat), in time (pada waktunya) kalau tidak ia boleh melemahkan semangat pemain.

“Masalah gaji ini saya tahu gaji pemain-pemain ini agak tinggi, nak bayar gaji kena bagi keseluruhan, jangan pilih-pilih pemain kalau tidak jadi hilang motivasi pemain, (itu) tak bagus,” katanya pada sidang media pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ditanya apakah puncanya episod tunggakan gaji itu berulang, Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, MUSA hanyalah persatuan dan jawapan itu ada pada MUFC selaku pemilik kelab.

“Sebagai Presiden MUSA, saya maklumkan, sebab dia (MUFC) bawa nama Melaka saya kata kalau tidak (selesaikan) nanti sukar kerana libatkan nama Melaka.

“Saya tak tahu (punca) kena tanya kepada dialah (Justin), tapi saya tahu di mana-mana juga berlaku benda (masalah tunggakan gaji) yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette