Ikhsan Fandi (jersi biru).

KUALA LUMPUR – Empat gol yang dijaringkan oleh penyerang muda Singapura Ikhsan Fandi bersama BG Pathum United ketika menentang PT Prachuap dalam saingan Thai League 1 baru-baru ini terus menjadi bualan peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Menurut perkongsian Asean Football dan Thai League Central di laman media sosial Twitter, anak legenda Fandi Ahmad itu sebenarnya telah mencipta dua rekod ketika menjaringkan empat gol tersebut.

Rekod pertama tercatat apabila Ikhsan muncul sebagai pemain terpantas yang menjaringkan empat gol dalam saingan divisyen pertama liga Thailand di mana keempat-empat jaringan dihasilkan dalam tempoh 11 minit.

Rekod seterusnya, adik kepada Irfan Fandi itu menjadi pemain pertama dari rantau Asia Tenggara yang menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Thailand.

Pada perlawanan menentang Prachuap, Ikhsan memulakan pesta jaringannya apabila dia mencipta gol pada minit ke-19, 26, 29 dan ke-31.

Rakan sepasukan, Worachit Kanitsribampen pula menjaringkan satu gol pada minit ke-41 sekaligus meletakkan BG Pathum pada kedudukan 5-1 di hadapan.

Pada separuh masa kedua, Teerasil Dangda dan Diogo Luis Santo masing-masing menjaringkan satu gol sekaligus melengkapkan malam gemilang bagi BG Pathum.

Setakat ini, Ikhsan telah menjaringkan lapan gol dalam 13 penampilan bersama BG Pathum, meletakkan dia di belakang Diogo dalam carta penjaring terbanyak kelab.

BG Pathum United kini menduduki tangga kedua dalam carta liga dengan perolehan 54 mata, lima mata dibelakang Buriram United dengan berbaki dua perlawanan.

BG Pathum turut menghadapi saingan AFC Champions League (ACL) bulan ini dimana mereka diletakkan dalam kumpulan G bersama Jeongnam Dragons (Koreal Selatan), Melbourne City (Australia) dan United City (Filipina). – MalaysiaGazette