Lori tangki bermuatan diesel disaman kerana memandu di lorong kecemasan di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Sebuah lori tangki membawa muatan diesel yang tular di media sosial kerana memandu di lorong kecemasan telah dikenalpasti dan disaman.

Kejadian itu berlaku di Jalan Kota Warisan menuju ke Cyberjaya, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis mengesan kejadian itu selepas ia viral di Facebook “Said Mohd Noor” yang di kongsi oleh Facebook “Penduduk Nilai Dan Sepang (Original)”.

Katanya, video berdurasi lapan saat itu memaparkan kelibat sebuah lori tangki bermuatan diesel telah menggunakan laluan kecemasan.

“Ekoran kejadian itu, semakan nombor pendaftaran lori melalui MCops mendapati  kenderaan itu dimiliki sebuah syarikat yang beralamat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pemandu lori berkenaan telah dapat dihubungi sebelum individu itu telah tampil memberi kerjasama kepada polis,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, pemandu lori tangki telah mengaku dia adalah pelaku di dalam video viral tersebut.

Pemandu itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis telah mengeluarkan tindakan saman Pol 257 (saman bersemuka) terhadap pemandu berkenaan. – MalaysiaGazette