Arifin Abdu

 

KUALA LUMPUR – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP 2022), Universiti Putra Malaysia yang telah telah berlangsung baru-baru ini mencerminkan petanda baik terhadap pewartaan kelayakan undi usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) 2022, Kamil Arif Baihagi berkata, seramai 70 peratus mahasiswa UPM yang majoritinya berusia antara 18 hingga 23 tahun telah mengundi dalam PMPP 2022 atau pilihan raya kampus.

”PMPP ini mencerminkan kesedaran politik mahasiswa telah meningkat. Generasi remaja dan muda selaku pelapis arah tuju negara telah menyokong proses demokrasi terutama apabila menjelang pilihan raya umum negara kelak.

”Salah satu mekanisma sokongan terhadap kelayakan undi 18 sebenarnya bermula daripada pilihanraya kampus,” katanya merujuk kepada PMPP UPM yang telah berlangsung secara aman.

Menurut Kamil, sebanyak 11 calon umum dan 33 calon fakulti telah diisytiharkan menang dan akan membentuk Majlis Perwakilan Pelajar 2022 hari ini.

”Pembabitan mahasiswa sebagai pembuat keputusan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan kampus UPM yang lebih berkebajikan, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, undian calon umum tertinggi diraih oleh Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi sebanyak 7,836 undi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, aspek yang perlu ditingkatkan dalam PMPP kelak ialah memastikan peratusan mahasiswa keluar mengundi lebih tinggi dan kesedaran politik oleh mahasiswa meningkat.

Arifin berbangga dengan kelancaran proses pilihan raya kampus berkenaan dan tarikh berkempen selama lima hari secara fizikal dan atas talian yang berjalan dengan aman, selain menyifatkan pengalaman berharga kepada mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk negara kelak.

”Pemilihan ini memperlihatkan mahasiswa telah mengambil peranan yang serius dalam menentukan kepimpinan dalam pelajar. Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) juga telah mengadakan pelbagai kempen komunikasi untuk menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

”Pembuangan undi secara maya menggunakan aplikasi telefon pintar, Putra Voting yang telah masuk tahun kedua pelaksanaannya dan diselia sepenuhnya oleh mahasiswa.

”JPMPP dengan Kerjasama BHEP juga telah menganjurkan tiga forum berkaitan tajuk pilihan raya dengan mahasiswa yang melibatkan beberapa pegawai SPR,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast