Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa lambat mencari punca masalah menyebabkan harga barang terus meningkat tanpa dapat dikawal.

Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada penjual yang terpaksa menanggung beban, malah pengguna juga turut terkesan akibat harga barang yang terus meningkat mendadak.

Azrul Azham

Ahli Jawatankuasa Parti Berjasa, Azrul Azham berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan pantas bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam menguruskan isu kos operasi ladang yang terus meningkat.

“Bukannya mengambil jalan singkat dengan mengenakan saman terhadap peniaga yang menjual barang lebih tinggi.

“Dulu ada Skim Maksima Harga Barang Keluarga Malaysia yang hanya mampu mengawal harga barang yang sudah naik, bukan kembalikan harga barang kepada tahap sedia kala.

“Itupun terhad kepada tempoh yang ditetapkan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Azrul, isu kenaikan harga barang bagaikan tiada penghujung disebabkan ketidakseriusan kerajaan terhadap isu jaminan bekalan makanan negara.

Inilah kata beliau, akibatnya kebergantungan kepada pasaran import dan tidak bersungguh menaiktaraf sektor pertanian dan penternakan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Ujar beliau, Malaysia memperoleh sayur, buah dan daging sekurang-kurangnya daripada 120 negara, mengimport lebih 50 jenis bahan segar dan beku bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, yang mana jumlah import makanan mencecah RM93.3 bilion pada November lalu.

“Negara Afrika, Australia, India, Thailand dan China antara yang menjadi sumber Malaysia mendapatkan import buah-buahan.

“Manakala sayur seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan, bendi, kacang, keledek, tomato dan cili diimport dari beberapa negara seperti China, India, Thailand, Australia dan Singapura.

“Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu bergantung kepada bekalan import? Yang pasti jaminan makanan negara dalam keadaan kritikal,” katanya. – MalaysiaGazette