Kereta Myvi berwarna merah dirampas oleh polis sebagai barang kes.

KAJANG – Seorang lelaki warga asing bersama teman wanitanya yang cuba merempuh anggota peronda polis dan dilepaskan tembakan ketika lari daripada ditahan di Bandar Sungai Long di sini telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes.

Suspek warga Nigeria berusia 38 tahun itu bersama teman wanitanya yang warga tempatan berusia 34 tahun dan seorang lagi lelaki tempatan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.

Pasangan kekasih itu dibenarkan untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah iaitu yang mana suspek lelaki direman empat hari sehingga 11 April ini manakala teman wanitanya dan seorang lagi suspek lelaki tempatan pula direman selama dua hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan polis.

Terdahulu, kedua-dua suspek telah ditahan semalam selepas berjaya meloloskan diri ketika dikejar polis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaini Mohd Hassan dalam kenyataan berkata, tiga anggota peronda bermotosikal dari IPD Kajang yang terlibat rondaan mencegah jenayah di daerah tersebut terserempak dengan kereta yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis peronda telah mengarahkan suspek menghentikan kereta Myvi merah yang dipandu suspek untuk tujuan pemeriksaan lanjut.

Namun suspek bersama teman wanitanya bertindak memecut laju dengan kereta mengelak ditahan polis sebelum polis mengejar kenderaan suspek sejauh tiga kilometer.

Namun selepas menemui jalan mati, suspek yang membuat pusingan U dengan Myvi cuba merempuh tiga anggota peronda polis itu.

Kemudian sebagai langkah mempertahankan diri daripada ancaman itu, anggota peronda polis dari Balai Polis Bandar Sungai Long itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek.

Namun suspek berjaya meloloskan diri sebelum polis menahan lelaki warga asing berkenaan semalam di sebuah bengkel kereta bersama seorang lagi lelaki tempatan disyaki tukang bengkel kereta ketika menukar tayar rosak itu.

Manakala teman wanita suspek asing itu dicekup di satu lagi lokasi berasingan di Bandar Sungai Long semalam.

“Turut dirampas dalam tangkapan kedua-dua suspek adaah sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan disyaki terlibat di dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan,” tegasnya. tegasnya.- MalaysiaGazette