Ishant Shah bersama bapanya, Atul Kumar (gambar atas) manakala Teoh Liyen bersama ibunya, Lim Bee Ling ketika ditemui di Akademi Skuasy Nicol David, Bukit Dumbar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongan keluarga, jurulatih serta guru dan saya akan pastikan peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara,” kata Ishant Shah, 19.

Ishant Shah memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas ditawarkan pengajian di Universiti Harvard yang dijangka bermula Ogos depan.

Menurut Ishant, dia akan terus bergiat aktif dalam sukan squasy sepanjang pengajian di universiti itu.

Ishant Shah.

“Saya berminat untuk menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang biologi dan tawaran untuk universiti itu menjadi motivasi untuk saya terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Ishant merupakan pelajar SMK Bukit Jambul, kini melanjutkan Program Matrikulasi Antarabangsa Canadia di Sunway College yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam arena sukan skuasy.

Antara pencapaian tertinggi beliau dalam sukan squasy adalah pingat emas bagi acara berpasukan Sukan Sekolah ASEAN 2018 Ke-10 dan acara Lelaki Bawah 17 Tahun Kejohanan Remaja Terbuka HCL India (2019), pingat perak dalam acara Lelaki Bawah 17 Tahun Kejohanan Terbuka British (2020) serta mewakili Pulau Pinang dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016.

Menurut bapanya, Atul Kumar, persiapan anak bongsu daripada dua beradik itu sedang giat dilakukan termasuk bantuan kewangan.

“Tawaran yang diterima Ishant merupakan di luar jangkaan kami kerana kami tahu bukan mudah untuk seseorang itu melangkah kaki ke Universiti Harvard,” katanya.

Guan Eng (tengah) menyampaikan bantuan khas kepada Ishant Shah serta Liyen.

Terdahulu, kedua-dua mereka menerima bantuan khas AS$1,000 daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Akademi Skuasy Nicol David, Bukit Dumbar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Teoh Liyen memberitahu, dia akan terus bergiat dalam sukan squasy sepanjang empat tahun menyambung pelajaran di Universiti Princeton.

Beliau yang merupakan pelajar SMJK Chung Ling Butterworth berkata, dia bercadang untuk menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Kejuruteraan.

Teoh Liyen.

“Persekitaran yang baik termasuk motivasi daripada keluarga serta jurulatih membawa saya ke tahap ini.

“Saya akan cuba yang terbaik dalam empat tahun akan datang,” katanya.

Teoh Liyen pernah mewakili Pulau Pinang ke temasya SUKMA pada 2018 di Perak dan kini merupakan atlet di bawah skuad SUKMA Pulau Pinang.

Antara pencapaian cemerlang beliau dalam arena squasy adalah pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Sekolah ASEAN 2018 Ke-10, pingat perak dalam Ohana Squash Championship 2019 dan pingat emas Kejohanan tertutup Skuasy Pulau Pinang 2021. – MalaysiaGazette