Pegawai kanan polis polis meninggal dunia akibat cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Lebuhraya NKVE.Gambar Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut dalam kemalangan di kilometer 6.7 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Kuala Lumpur ke Klang pada 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shan Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan raya.

“Akibat insiden itu, mangsa yang Gan Chee Liang berpangkat Asisten Superintendan berusia 39 tahun telah mengalami kecederaan serius dalam kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang berkhidmat di Maktab PDRM Cheras dibawa ke Hospital Shah Alam namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697. – MalaysiaGazette