Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP mengulangi pendirian bahawa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama Pakatan Harapan (PH) dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

Lim Guan Eng berkata, mengikut MoU tersebut RUU berkenaan Anti-Lompat Parti dan RUU Pindaan Perlembagaan dilakukan secara serentak namun kini dijalankan dalam dua peringkat.

“Kita persetujui ia dibuat serentak tetapi nampaknya akan dibuat dalam dua peringkat. Tapi selagi ia dilaksanakan dan mengikut apa yang terkandung dalam MoU saya rasa kita boleh pertimbangkan.

“Kita juga akan dapatkan pencerahan apabila berjumpa dengan perdana menteri pada majlis berbuka puasa esok dan bila parlimen bersidang pada hari Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas USD1,000 kepada Ishant Shah dan Teoh Liyen yang menerima tawaran pengajian di Universiti Harvard serta Princeton di Akademi Skuasy Nicol David, Bukit Dumbar di sini, hari ini.

Guan Eng (tengah) menyampaikan bantuan khas kepada Ishant Shah serta Liyen.

Tambah Guan Eng, pihaknya difahamkan RUU Pindaan Perlembagaan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum disusuli dengan pembentangan Akta Anti Lompat Parti pada satu sesi persidangan parlimen khas kelak.

“Tarikh persidangan itu akan diumumkan oleh perdana menteri nanti.

“Apa yang penting, kita nak lihat Akta Anti Lompat Parti menjadi undang-undang supaya dapat tanamkan selama-lamanya budaya politik katak yang tidak sihat serta ancam demokrasi negara,” kata Guan Eng.

Kelmarin media melaporkan, Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini, diteruskan bagi membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti pula hanya akan dibentang pada sidang khas lain.

Pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini, membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

Pada kenyataan bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua pihak hari ini mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa payah sangat nak buat undang2 lompat parti ni. Perkara itu sebenarnya sangat mudah . Orang yang melompat itu akan hilang segalanya kerana tercicir hasil lompatan itu dan orang dibawahnya akan terima segala peninggalan yang terjatuh itu sebagai pusaka . Tak perlulah nak buat pilihan raya yang menghabiskan dana negara .

Comments are closed.