Will Smith

LOS ANGELES – Pelakon popular Hollywood, Will Smith dilarang menghadiri Anugerah Akademi untuk 10 tahun akan datang kerana aksinya menampar pelawak Chris Rock yang menghina isterinya, Jada Pinkett Smith di atas pentas sewaktu majlis Oscar 28 Mac lalu.

Menurut Presiden Akademi, David Rubin, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dawn Hudson, lembaga pengarah memutuskan untuk tidak membenarkan Will Smith menghadiri sebarang acara atau program Akademi secara fizikal atau maya untuk tempoh 10 tahun bermula 8 April 2022.

Keputusan tersebut dibuat semasa mesyuarat Lembaga Gabenor yang diadakan pada awal hari ini di Los Angeles, yang pada mulanya dijadualkan pada 18 April namun dipercepatkan selepas Will Smith mengumumkan perletakan jawatannya dalam Akademi pada minggu lalu.

Salah seorang ahli Lembaga Akademi memberitahu, keputusan tersebut juga dibuat selepas mendapat banyak perdebatan mengenai akibat daripada tamparannya di atas pentas.

Surat Akademi ke-94 kepada Will Smith menjelaskan bahawa majlis anugerah Oscar bertujuan untuk meraikan individu yang telah bekerja keras melangkaui jangkaan, namun tindakan Will Smith tidak boleh diterima dan boleh mengundang bahaya kepada orang lain.

Peletakan jawatan Will Smith bermakna dia bukan lagi sebahagian daripada badan mengundi Akademi.

Namun begitu, ia tidak menghalang pemenang Oscar (Will Smith) daripada dicalonkan pada masa hadapan.

Will Smith mengeluarkan kenyataannya mengenai larangan: “Saya menerima dan menghormati keputusan Akademi,” katanya. – Agensi

(https://edition.cnn.com/2022/04/08/entertainment/will-smith-academy-sanctions-decision/index.html)