Prof Dr Mohammad Tariqul Islam (kiri) bersama Prof Ir Dr Mandeep Singh (tengah) dan Prof Dr Norbahiah Misran mempamerkan ciptaan mereka, antena bersaiz kompak.

KUALA LUMPUR – Penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghasilkan antena tampalan gandaan tinggi untuk komunikasi jalur C yang telah dilancarkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menurut ketua penyelidik Prof Dr Mohammad Tariqul Islam, antena bersaiz kompak itu dipasang pada satelit kiub (CubeSat) atau satelit nano KITSUNE sebelum dilancarkan pada 24 Mac lalu, jam 9.10 malam.

Muhammad Tariqul berkata, antena itu sesuai dipasang pada CubeSat KITSUNE kerana saiznya yang kecil iaitu 30 x 30 x 1 mm3.

“Satelit KITSUNE merupakan CubeSat 6U yang berbentuk segiempat tepat dengan sisi 10 x 20 x 30cm justeru, antena bersaiz kompak, ringan dan stabil diperlukan untuk kelancaran misi satelit nano ini,” katanya.

Tambahnya, komunikasi antara CubeSat dan bumi amat bergantung kepada sistem antena.

“Ciri antena ini unik kerana ia tidak mengganggu isyarat lain dari sistem satelit bagi memastikan komunikasi yang lebih baik kepada pengguna.

”Penghasilan antena yang berstruktur ringkas dan padat ini mampu beroperasi dalam aplikasi transmisi jalur C (5.66 GHz dan 5.84 GHz) dengan radiasi terpolarisasi membulat.

”Polarisasi antena CP yang sentiasa sejajar akan menyebabkan isyarat komunikasi yang diterima dan dihantar memuaskan dan tidak terputus,” jelasnya.

Menurutnya, projek ini merupakan kerjasama dengan Institut Teknologi Kyushu, Jepun (Kyutech) yang bermula pada Jun 2019.

”Projek penyelidikan ini adalah sebuah pengiktirafan yang membuktikan bahawa kepakaran penyelidik dan universiti tempatan dalam bidang teknologi diakui di peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Tiga lagi penyelidik yang terbabit dalam projek berkenaan adalah Prof Dr Norbahiah Misran, Prof Ir Dr Mandeep Singh dan Dr Md Samsuzaaman.

Sementara itu, Prof Norbahiah berkata, pencapaian berkenaan membuktikan negara mempunyai kepakaran yang mampu menyumbang untuk projek satelit negara.

”Negara kita mempunyai misi menerokai angkasa dan melalui kejayaan ini, ia memberi keyakinan kita mampu pergi jauh dengan memanfaatkan kajian tenaga pakar dari universiti tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette