foto CNN

MANILA – Wilayah tengah Filipina dilanda ribut tropika Megi pagi tadi, kata biro cuaca.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina berkata, Megi melanda sebelum jam 8 pagi waktu tempatan.

Megi ialah ribut tropika pertama yang melanda negara Asia Tenggara itu pada musim panas tahun ini.

Ia bertiup dengan angin maksimum 75 km sejam dan dengan tiupan sehingga 105 km sejam setakat 10 pagi waktu tempatan.

Biro itu berkata, Megi mengekalkan kekuatannya sambil bergerak perlahan ke arah barat di atas perairan pantai Guiuan, sebuah bandar di wilayah Samar Timur.

Biro itu menaikkan tahap amaran kepada 1 atau 2 (pada skala 5) di beberapa kawasan tengah dan selatan Filipina.

Tetapi beberapa wilayah selatan pulau utama Luzon turut dibasahi hujan lebat.

“Hujan turun dengan lebat di kawasan ini,” tambah biro itu.

Penduduk diberi amaran agar berwaspada dengan kemungkinan banjir dan tanah runtuh akibat hujan dan angin kencang.

Biro itu juga berkata, kawasan pantai akan mengalami laut bergelora, yang boleh memberi berisiko kepada kebanyakan kapal.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap dan kira-kira 20 taufan setahun, menyebabkan berlaku banjir dan tanah runtuh.

Taufan Rai, taufan ke-15 melanda Filipina tahun lalu, membunuh lebih 400 orang.

Taufan kategori 5 memusnahkan lebih 1.7 juta rumah di lapan wilayah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 9.9 juta orang di enam wilayah paling teruk terjejas akibat taufan itu. – Xinhua (https://english.news.cn/asiapacific/20220410/1507d0d865544dba9eecafd32c230358/c.html)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast