rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia pada bulan lepas telah disahkan rabies pada 4 April lalu.

Mangsa seorang warga Malaysia, berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan berkata, pesakit itu meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

Menurutnya, mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah Dr Sha’ari, hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

Bagaimanapun tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor.

Rabies merupakan penyakit sistem saraf disebabkan jangkitan virus tersebut.

Ia merebak melalui gigitan haiwan yang dijangkiti virus rabies kebiasaannya seperti anjing, kelawar dan kucing.

Susulan kes ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling telah melakukan penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Selain itu siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Petaling juga dilakukan dalam lingkungan 1 kilometer radius dari rumah mendiang.

Surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

Sha’ari menambah, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang turut dibuat bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bag pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu. – MalaysiaGazette