Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin khuatir pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan boleh disalahgunakan di kemudian hari untuk menafikan hak dan kebebasan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata, pindaan itu merangkumi maksud yang terlalu luas dan boleh menyekat hak kebebasan wakil rakyat untuk menyatakan kebenaran serta mengambil pendirian dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Oleh itu, katanya, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya iaitu membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.

“Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli Parlimen dan ADUN yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

“Pindaan ini juga akan memberikan kesan besar terhadap hak kebebasan berpersatuan bagi rakyat yang selama ini dipertahan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Menurut Muhyiddin, penggubalan itu bagi mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan berpersatuan berkaitan dengan keanggotaan parti ahli Parlimen dan ADUN di negara ini.

Kata beliau, sekatan ke atas hak kebebasan asasi itu hanya boleh dibuat oleh sebuah Akta Parlimen atas sebab keselamatan negara, ketenteraman awam dan moral.

“Tidak ada alasan lain boleh digunakan untuk menyekat hak kebebasan seorang wakil rakyat sama ada menubuhkan sebuah parti politik, menyertai parti politik, meninggalkan parti politik atau tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Inilah precedent atau duluan kes yang menjadi prinsip undang-undang yang diterima di negara kita.

“Namun, jika Dewan Rakyat meluluskan RUU ini, maka hak kebebasan asasi untuk berpersatuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selama ini akan disekat dengan sekatan yang akan diperincikan dalam sebuah akta yang akan digubal kemudiannya,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, semua ahli Dewan Rakyat memikul beban tanggungjawab besar untuk sentiasa melindungi hak kebebasan asasi rakyat, termasuk hak kebebasan sebagai wakil rakyat.

Justeru, ujarnya, pindaan itu bukan suatu perkara yang kecil, malah bukan semata-mata suatu hal yang berkaitan dengan kepentingan politik atau kepentingan mana-mana parti, tetapi berkait dengan soal keadilan dan kebebasan yang mesti dibela dan pertahankan.

“Kita berbahas hari ini mengikut naluri suara hati atau conscience kita sebagai Ahli Parlimen bukan berasaskan label parti politik.

“Pertimbangan utama kita ialah adakah undang-undang ini adil atau sebaliknya? Adakah ianya baik untuk rakyat dan negara? Atau hanya akan memberi kelebihan kepada pihak tertentu sahaja atas tujuan kepentingan politik semata-mata.

“Apatah lagi RUU ini akan membatasi hak asasi kita semua sebagai seorang individu dan juga Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, dalam siri libat urus mengenai RUU itu, beliau telah menyatakan beberapa pandangan, antaranya, minta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti.

“Saya tidak bersetuju ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa jua sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Ada banyak sebab dipecat atau meninggalkan parti, antaranya kerana melanggar disiplin parti atau kerana menyatakan sesuatu yang hak, tetapi tidak disenangi pemimpin lalu dipecat atau kerana partinya telah lari dari landasan prinsip perjuangan sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.

“Situasi ini berbeza. Kalau sekiranya undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim,” katanya.

Oleh itu, beliau mahu pengecualian dan perlindungan tertentu mesti diberikan kepada mana-mana ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang itu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Namun, sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun.

“Tetapi seorang ahli Parlimen menyuarakan kebenaran dan dipecat partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Tidak ada ruang untuk ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966,” kata beliau.

Beliau mempersoalkan, kalau rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti sudah tentu tidak memberi keadilan kepada seorang Ahli Parlimen.

Oleh itu, katanya, sekiranya itu kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti melakukan kesilapan dan kemungkaran, mengamalkan rasuah dan penyelewengan kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.

“Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita.

“Oleh itu, sekiranya RUU ini diluluskan, saya mencadangkan supaya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang anti lompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya.

“Saya juga berharap mana-mana kerajaan memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang anti lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana ahli Parlimen,” katanya.

Namun, Muhyiddin menjelaskan, dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan yang paling utama mesti untuk menegakkan hak dan keadilan.

“Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai Ahli Parlimen adalah penjaga kepada Perlembagaan dan undang-undang.

“Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati,” katanya. – MalaysiaGazette