KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), peneraju ekonomi digital Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh pakatan dan kerjasama antara dua agensi kerajaan berkenaan dengan sasaran untuk memangkinkan pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia.

Menerusi MoU ini, MDEC dan MTDC akan berusaha membangunkan program pembangunan usahawan berasaskan teknologi secara bersama serta mempromosikan teknologi digital dan adaptasi dalam kalangan syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil sederhana (PKS).

Selain membuka lebih banyak kemudahan pembiayaan dan peluang kepada syarikat teknologi, kerjasama antara MDEC dan MTDC ini akan mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan secara sinergi bagi memastikan capaian dan impak yang maksimum.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, platform dan kepakaran setiap organisasi akan dimanfaatkan dan menjadi teras utama kerjasama ini.

”Bagi MDEC program di bawah inisiatif Malaysia Digital dan #SayaDigital akan memainkan peranan membantu lebih ramai khalayak dalam usaha memacu pendigitalan negara dan menerusi MoU ini, kami dapat memastikan bukan sahaja capaian, kecekapan serta impak yang lebih baik kepada ekosistem teknologi kita malahan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital,” katanya.

Tambah beliau, MoU ini akan menyokong pembangunan ekosistem untuk syarikat Malaysia terus berkembang maju.

Menurut beliau, Persaingan untuk melahirkan juara global yang berjaya adalah tanggungjawab bersama dan MoU ini bukti pendekatan holistik Malaysia.

Menerusi inisiatif ini, kedua-dua agensi ini mampu bergerak sebagai satu negara untuk memacu objektif utama dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, MoU ini akan menjadi platform kepada MTDC Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi di bawah MDEC iaitu ahli komuniti MTDC Co9P yang membantu syarikat dalam sektor Revolusi Perindustrian 4.0 dan digital.

”Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat di bawah MDEC merupakan sebahagian daripada usaha kami mengembangkan Co9P ke kawasan lain di Malaysia dan menawarkan peluang untuk membina hubungan dengan rakan kongsi globalnya melalui khidmat nasihat perniagaan dan MDEC sebagai rakan kongsi strategik kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette