Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Barisan pemain Selangor FC tetap menjadi mangsa kecaman dan makian penyokong sendiri walau pun merekodkan kemenangan besar 4-1 ke atas Kedah Darul Aman FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Stadium MBPJ) di saingan Liga Super pada malam tadi.

Berdasarkan video yang menjadi tular di media sosial, segelintir penyokong dilihat berkonfrontasi dengan kapten pasukan, Safuwan Baharudin dan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid selepas tamat perlawanan.

Kedengaran seorang penyokong daripada kalangan kumpulan penyokong, UltraSel  memarahi dan memaki kapten pasukan Selangor itu kerana kecenderungan bahagian pertahahan yang mudah dibolosi lawan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen khususnya daripada kalangan penyokong Selangor.

Ada yang berpendapat penyokong tersebut tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kasar sebegitu kerana pemain juga mempunyai perasaan.

Ada juga yang berpendapat penyokong sendiri harus menukar mentaliti untuk tidak menjatuhkan moral penyokong yang berjuang bermati-matian di atas padang.

Di dalam situasi di atas, penyokong itu mungkin berharap Selangor menampilkan aksi lebih konsisten sepanjang pertandingan Liga Super dan tidak terbuai-buai hanya selepas merekodkan satu kemenangan khususnya di bahagian benteng yang begitu mudah dibocori.

Sementara itu, kemenangan 4-1 itu menyaksikan Selangor berjaya merekodkan kemenangan pertama pada musim ini selepas sekadar seri dua perlawanan sebelum itu.

Kejayaan menewaskan Kedah bermakna Selangor kini menduduki tangga kelima kedudukan Liga Super Malaysia selepas melalui tiga perlawanan. – MalaysiaGazette