Parliament Malaysia Dewan Rakyat sitting Anti-Party Hopping Bill Law Federal Constitution amendment
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang telah dipersetujui Pakatan Harapan dan kerajaan kelak akan dibentang dan diluluskan dalam sidang khas Parlimen sebelum akhir Mei depan.

Itu antara hasil perbincangan pemimpin utama Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berlangsung pagi tadi.

Menurut Majlis Presiden PH, turut dibincangkan mengenai keperluan membawa Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan RUU Anti Lompat Parti yang dibentang hari ini untuk dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Jawatankuasa berkenaan, menurut mereka, perlu bersifat dwipartisan melibatkan semua parti dan berperanan meneliti, memperhalusi serta mencadangkan draf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

Selain itu Majlis PH berkata, turut dibincangkan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan yang perlu diperhalusi agar dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

Turut dibincangkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti.

“Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

“Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti  berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” kata PH.

Majlis PH berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan secara kolektif antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau. – MalaysiaGazette