SK Senibong telah mengadakan program lawatan perkongsian bestari ke SK Liang Batu, Muar baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan (SK) Senibong berhasrat muncul sebagai pusat pembelajaran digital dalam daerah Pasir Gudang di Johor pada masa akan datang.

Guru Besarnya, Jamilah Nain berkata, perancangan itu mampu memberi motivasi kepada murid untuk datang ke sekolah berikutan aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang ketika ini menggunakan teknologi terkini.

Menurut beliau, pusat itu juga merupakan satu peluang kepada murid Orang Asli untuk melaksanakan proses belajar secara digital.

“Pusat pembelajaran digital juga dapat mengembangkan potensi murid Orang Asli di sekolah ini selain bagi membolehkan mendapatkan dana untuk menyertai pertandingan Anugerah Pusat Sumber Kategori Sekolah Kurang Murid (SKM).

“Pada masa sama, ia mampu menjadikan SK Senibong sebagai satu pusat yang dapat menyalurkan maklumat keada komuniti setempat pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Kebanyakan ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Senibong adalah dalam kalangan B40 termasuk juga murid Orang Asli yang bersekolah di situ.

Jamilah menambah, bagi merealisasikan hasrat itu, SK Senibong telah mengadakan program lawatan perkongsian bestari ke SK Liang Batu, Muar yang menerima Anugerah Pusat Sumber bagi kategori SKM sebagai penanda aras bagi sekolahnya.

Jelas beliau, lawatan yang diadakan baru-baru ini turut melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dan SK Liang Batu itu

“Seramai tiga orang wakil dari PPD Pasir Gudang dan empat orang wakil guru dari SK Senibong yang telah menyertai program lawatan perkongsian pintar ini.

“Terdapat juga wakil dari PPD Muar, PPD Johor Bahru dan dua buah sekolah di Johor Bahru iaitu SK Kempas dan SK Taman Suria yang menyertai program itu,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Senibong adalah dalam kalangan B40 termasuk juga murid Orang Asli yang bersekolah di situ.

Rata-rata mereka bekerja sebagai nelayan.

Mereka yang berminat untuk membantu dan menyumbang terhadap Projek Smart School Partnership boleh memberi sumbangan ke akaun Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Senibong di nombor akaun Maybank 551294605661 (Rujukan: Smart School Partnership). – MalaysiaGazette