Anjing liar dan terbiar dan berkeliaran boleh mengakibatkan berlaku penularan penyakit rabies.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan terus mengaktifkan survelan dan persampelan terhadap anjing liar di daerah Petaling untuk mengesan rabies.

Menerusi kenyataan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia memaklumkan, sehingga kini, tiada aduan melibatkan kematian anjing dijangkiti rabies atau yang menjurus kepada tanda klinikal rabies di Selangor.

“DVS merujuk kepada laporan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengenai satu kes rabies melibatkan seorang lelaki di daerah Petaling, Selangor.

“Susulan itu DVS telah mengaktifkan survelan dan persampelan bagi mengesan rabies di kalangan anjing-anjing berkeliaran di kawasan satu kilometer radius indeks kes,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, setakat ini keputusan ujian makmal veterinar menggunakan teknik ujian Direct Fluorescent Antibody Test (DFAT) dari sampel yang di ambil menunjukkan negatif terhadap virus rabies.

Dalam pada itu katanya, program kawalan rabies dijalankan secara berterusan di seluruh negara dengan hasil pemantauan dan ujian makmal (DFAT) ke atas sampel yang diuji selama ini menunjukkan tiada rabies dikesan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar segera melaporkan ke pejabat perkhidmatan veterinar yang terdekat jika terdapat perubahan tingkah laku pada anjing samada menjadi agresif atau dungu.

Jelas kenyataan itu, kes gigitan anjing perlu segera dilaporkan ke pejabat perkhidmatan veterinar dan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

“DVS menasihatkan orang awam tidak panik dan memberikan kerjasama dalam menangani kes rabies dikalangan haiwan,” katanya. – MalaysiaGazette