Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menunjukkan module pada sidang media berkaitan penggajian pekerja asing di Wisma HRD Corp. Damansara. Foto MUHD NA'IM, 13 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 24,560 pekerja warga asing dijangka dibawa masuk sebelum 27 April ini dan fasa pertama proses melibatkannya sudah selesai.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pekerja asing itu membabitkan lima sektor iaitu pembinaan, pertaniaan, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

Tambahnya, fasa kedua pula melibatkan seramai 154,891  pekerja asing akan mula memasuki negara dalam masa enam minggu daripada sekarang.

“Untuk rekod, permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing telah dibuka pada 15 Februari lalu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, walaupun Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan negara Indonesia dan Bangladesh namun setakat ini belum ada lagi pekerja asing dari negara berkenaan dibawa masuk ke negara ini.

Saravanan menjelaskan, ini kerana pihaknya perlu meneliti beberapa faktor penting sebelum membuat keputusan membawa masuk pekerja asing mengikut keperluan pelbagai sektor pekerjaan.

Dalam pada itu, Saravanan mengingatkan bahawa permohonan secara manual tidak lagi dibenarkan bagi majikan yang mahu membawa masuk pekerja asing dan hanya secara dalam talian.

Setakat hari ini, kementeriannya telah menerima sebanyak 519,937 permohonan kuota pekerja asing dan menolak sebanyak 46,942.

“Saya faham, negara memang menghadapi kerugian besar kerana kekurangan tenaga kerja khususnya sektor perladangan,” katanya lagi.

Namun beliau perlu mempertimbangkan banyak faktor termasuk memastikan peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini didahulukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast