Bekas Pegawai Polis, Md Ali Amir Betcha bercakap pada media membuat laporan polis ke-6 berkaitan atas dakwaan salah guna kuasa dan menahannya tanpa bicara secara di pekarangan Balai Polis Kampung Baru, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 12 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa ditahan tanpa bicara secara tidak sah di bawah Ordinan Darurat (EO) selama hampir empat tahun pada penghujung 1990-an membuat laporan polis keenam berkaitan insiden itu.

Laporan tersebut menamakan seorang bekas ketua polis negara dan empat bekas pegawai tinggi polis termasuk seorang bekas ketua polis Johor.

Menurut Md. Ali, beliau mahu mereka yang terlibat dalam apa yang didakwanya sebagai konspirasi jahat yang mendatangkan bencana ke atas dirinya dikenakan tindakan.

“Selagi tak ada tindakan saya akan buat laporan polis. Seperti yang saya kata kalau terpaksa dibawa ke mahkamah antarabangsa pasal banyak pelanggaran hak asasi, kami akan bawa,” katanya.

Bekas Pegawai Polis, Md Ali Amir Betcha menunjukkan salinan laporan polis ke-6 berkaitan atas dakwaan salah guna kuasa dan menahannya tanpa bicara secara di pekarangan Balai Polis Kampung Baru, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 APRIL 2022.

Md Ali ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang di sini hari ini.

Kali terakhir beliau membuat laporan polis adalah pada 31 Mac lalu.

Beliau ditahan tanpa bicara di pusat tahanan Simpang Renggam dari 1997 hingga 2000. Dia kemudiannya ditamatkan perkhidmatan daripada pasukan polis.

Sementara itu, Md Ali berkata, 100 ahli Persatuan Kebajikan Prihatin Wira Malaysia yang mengalami nasib sepertinya akan mengambil tindakan sama.

“Yang mengadu pada kami sekarang ini pun ramai jadi mangsa sebegini. Jadi bayangkanlah, macam saya cakap, bila diambil tindakan, kamu dibuang kerja mana nak cari kos peguam.

“Sebab itu NGO kita cuba membantu. Saya hanya pemangkin. Saya telah bergadai dan bergolok sampai ke tahap begini. Mereka bagaimana? Kita tak mahu mereka (polis) berlindung di sebalik undang-undang sehingga mereka naik pangkat menjadi musang menjaga ayam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, nama Md. Ali telah dibersihkan oleh sebuah tribunal khas yang ditubuhkan untuk membuka semula siasatan berhubung dakwaan dia ditahan secara tidak sah susulan beberapa siri rompakan pada 1990-an.

Dengan keputusan tribunal itu, Ali berharap polis akan membuka kertas siasatan terhadap penahanan tanpa bicara ke atas dirinya.

Md. Ali mendakwa dia adalah mangsa konspirasi di mana dia dituduh secara salah selepas dia berjaya melumpuhkan kegiatan samseng di Johor sejak 1995.

Beliau pernah mengetuai 44 kali operasi bersama Unit Tindak Cepat (UTC) Johor dan lima kali dengan UTC Selangor.

Seramai 150 penjenayah mati ditembak dan 18 individu diberkas dalam beberapa siri pertempuran dengan UTC yang diketuainya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast