Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia menjelaskan keputusannya menggunakan bahan audio dan kertas soalan Ujian Mendengar (UM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi pertama untuk calon sesi kedua dibuat berdasarkan dua pertimbangan.

Pertimbangan pertama ialah kertas soalan dalam UM SPM diklasifikasikan sebagai kertas tertutup dan tidak boleh dibawa keluar oleh calon dari dewan/bilik peperiksaan.

Sekiranya apa-apa jua maklumat berkaitan UM SPM disampaikan oleh satu pihak kepada satu pihak yang lain, ia berlaku hanya dalam bentuk ringkasan wacana.

”Pertimbangan kedua ialah format soalan UM SPM adalah dalam pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respon terhad.

“Oleh itu, UM SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan,” kata LP dalam kenyataan di sini.

Penjelasan itu dibuat selepas timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan guru dan ibu bapa tentang soalan ulang yang sama pada calon SPM sesi kedua untuk UM.

Perkara itu disifatkan sebagai tidak adil kepada calon-calon SPM.

Mengulas lanjut, LP menambah, sekiranya calon menerima maklumat daripada satu pihak yang lain berkaitan audio tersebut, calon tetap perlu mempunyai kefahaman dan tafsiran masing-masing untuk menjawab dengan tepat.

Sehubungan dengan itu, LP yakin integriti bahan audio dan kertas soalan UM SPM tahun 2021 kekal utuh.

LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2021 adalah terjamin. – MalaysiaGazette