Antara struktur haram yang dibina di tanah rizab pantai Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (PKNPP) menggesa pihak berkuasa negeri mengambil tindakan mengembalikan semula tanah rizab Pantai Tanjong Tokong kepada orang awam.

Ia susulan lebih 70 struktur dibina atas tanah rizab pantai itu sejak tahun 2005.

PKNPP dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya kecewa apabila tanah awam tersebut digunakan secara haram manakala pihak berkuasa pula tidak mengambil tindakan serius berhubung perkara itu.

Katanya, kegagalan pihak berkuasa negeri mengambil tindakan berhubung isu ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya membabitkan undang-undang negeri.

“Hasil tinjauan kami ke tanah rizab pantai tersebut mendapati banyak struktur telah dibina sekali gus timbul persoalan mengapa penghuni tersebut boleh sesuka hati mengeksploitasi tanah awam.

Rumah kediaman turut dibina di kawasan tersebut.

“Antara struktur dibina termasuk rumah kediaman, pondok, rumah kedai, dan beberapa buah chalet.  Kita juga dapati struktur-struktur ini telah dibina atas tanah awam dan kesemua pemilik premis ini tidak mempunyai permit yang sah untuk menjalankan perniagaan,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, keadaan di kawasan tersebut menjadi lebih buruk dengan isu pencemaran alam sekitar disebabkan penempatan haram itu.

“Tiada sistem kumbahan dan perparitan yang sesuai malah sisa air buangan dari penempatan haram itu terus mengalir ke laut sekali gus menyebabkan berlaku pencemaran laut serta mengancam ekosistem marin.

“Tanah rizab pantai sepatutnya dijaga untuk rekreasi awam bukannya dibiarkan sesak dengan penempatan dan peniagaan haram.

“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan serius membabitkan isu ini dan memulihkan tanah rizab pantai itu untuk kegunaan awam,” katanya. – MalaysiaGazette