Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan jangkaan kenaikan kadar faedah penanda aras yang sederhana sebanyak 25 mata asas (bps) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun ini.

Bank pusat telah menyatakan bahawa kadar faedah adalah lebih kepada instrumen pengurusan permintaan untuk menangani inflasi “tarikan permintaan” dan “didorong oleh upah”, justeru kurang sesuai untuk menangani inflasi “tolakan kos”.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata, kadar inflasi di negara ini secara relatifnya stabil pada 2.3 peratus dalam tempoh dua bulan pertama 2022 selepas kenaikan 2.5 peratus untuk harga pengguna pada 2021.

Katanya, makanan, elektrik, gas dan bahan api lain, serta bahan api-pengangkutan dan pelincir merupakan penyumbang terbesar, menyumbang 82 peratus daripada kadar inflasi dalam tempoh dua bulan pertama 2022.

“Secara keseluruhannya, inflasi di Malaysia masih didorong oleh elemen sensitif-harga komoditi IHP.

“Angka inflasi yang berada dalam kawalan setakat ini mencerminkan kelaziman subsidi makanan, bahan api dan pengangkutan serta kawalan harga seperti bahan api (RON95, diesel, gas petroleum cecair) dan subsidi harga minyak masak, subsidi pengeluaran ayam dan telur untuk industri ternakan dan pembekuan ke atas tarif asas elektrik untuk semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia dari 1 Feb 2022 hingga akhir 2024,” katanya.

Bagi negara-negara ASEAN lain, Maybank IB mengekalkan unjuran kenaikan kadar faedah sebanyak 25 bps untuk Thailand, selain menjangka kenaikan yang lebih tinggi di Indonesia (75 bps) dan Filipina (50 bps).

Katanya risiko inflasi kekal pada kecenderungan meningkat mengikut trend Indeks Harga Pengeluar (IHPR), menunjukkan tekanan meningkat dalam masa terdekat yang berterusan dalam IHP.

“Ini berikutan risiko bekalan dan gangguan yang berpanjangan disebabkan premium risiko ke atas bekalan dan harga komoditi global berikutan ketidaktentuan pasaran global yang disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine dan akibat daripada sekatan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kewangan ke atas Rusia,” katanya.

Katanya gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan berikutan dasar sifar COVID-19 China yang berterusan turut mempengaruhi inflasi. – MalaysiaGazette