Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk mendapatkan pasport bagi mengerjakan umrah selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan  membela diri bagi 47 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berkaitan penyewelengan dana Yayasan Akalbudi miliknya bermula esok.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi, selain berdepan dengan soal balas pendakwaan berhubung semua pertuduhan terhadapnya.

Beliau juga akan menjadi saksi pertama memberi keterangan berhubung tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram bernilai puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi itu.

Mahkamah telah menetapkan 39 hari bagi pembelaan yang akan bermula esok (13 April) sehingga Jumaat ini sebelum bersambung penghujung bulan depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah telah menetapkan April, Mei dan Jun tahun bagi mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan, bagaimanapun tarikh-tarikh itu berubah.

Kini prosiding dijangka berlangsung pada ketetapan 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 Sept serta 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt dan 1-3 dan 7-10 Nov.

Sebelum ini, pada 24 Januari lepas, Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Jelas beliau dalam penghakimannya, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala lapan tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Beliau juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. 

Prosiding di jangka bermula jam 9 pagi esok di hadapan Collin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast