Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebagai seorang peminat aktiviti permotoran, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kurang bersetuju dengan cadangan mengharamkan penjualan ‘kapcai’ berprestasi tinggi termasuk penggunaannya di jalan raya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tanpa sedikit pun berhasrat memperkecilkan cadangan tersebut oleh mana-mana pihak, beliau malah percaya beberapa perkara wajar diperhalusi terlebih dahulu.

Katanya, walau apa prestasi sekali pun motosikal berkenaan, jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi.

“Kecuali berlaku faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat.

“Sebab itu penunggang digesa memastikan motosikal sentiasa dalam keadaan baik dan sentiasa berhati-hati di jalan raya bagi mengelak risiko tidak diingini.

“Lagipun, pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik Covid-19 melanda,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyarankan motosikal kapcai berprestasi tinggi diharamkan penjualan dan penggunaan di jalan raya.

Saranan itu susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal berkenaan.

Ia selepas tersebarnya video mengenai model keluaran terbaru, Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin ‘dyno’.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula.

Kata beliau, kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja.

Malah, katanya, sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal juga akan turut terkesan.

“Dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan lain kerana belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka perlu menggunakan motosikal.

“Selain itu, terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir.

“Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta untuk anak mereka ke kuliah atau kelas,” ujar beliau.

Justeru, kata mantan Timbalan Perdana Menteri itu, aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah sikap pengguna jalan raya.

Katanya, usaha memperkasa kesedaran mereka terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

“Menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri.

“Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Kita tidak mahu sebarang dasar apabila dilaksanakan kurang berkesan akhirnya mengundang kiasan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya. – MalaysiaGazette