Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. foto NOOREEZA HASHIM

KUALA LUMPUR – Seramai 25 atlet badminton profesional dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Latihan itu untuk mereka bertanding dalam saingan Piala Thomas/Uber 2022 di Bangkok yang bakal berlangsung pada 8 hingga 15 Mei ini.

Menurut kenyataan BAM, seramai tujuh pemain perseorangan lelaki tersenarai untuk latihan pusat berkenaan yang diketuai pemain ranking nombor tujuh dunia, Lee Zii Jia.

BAM turut menyenaraikan pemain berpengalaman yang berstatus professional, Liew Daren.

“Seramai 24 pemain yang terdiri daripada 12 pemain lelaki dan 12 wanita akan berlepas ke Bangkok pada 5 Mei ini untuk mula beraksi.

“22 April menjadi tarikh akhir untuk menghantar senarai pemain kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF),” jelas BAM dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala bagi skuad Piala Uber pula, pemain perseorangan wanita yang mendapat tumpuan semasa Terbuka Korea, Goh Jin Wei turut dipanggil untuk menyertai kem latihan itu.

Bagi Piala Thomas, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara 2014, Jepun, England dan New Zealand.

Sementara itu, pasukan Wanita Malaysia dalam Piala Uber diletakkan di dalam Kumpulan C yang bakal berdepan Thailand, Denmark, dan Mesir.

Pemain Piala Thomas terdiri daripada Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Ong Ken Yon, Liew Daren, Shaqeem Eiman, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Pemain Piala Uber pula terdiri daripada S Kisona, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Goh Jin Wei, Chan Wei Tse, Pearly Tan, M Thinaah, Anna Cheong, Teoh Mei Xing, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow. – MalaysiaGazette